Rebut kelebihan, manfaat ibadah korban





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





MUKIM LUMAPAS, Sabtu, 25 April. - “Melaksanakan ibadah korban itu sunnah muakkadah. Maksud hukum sunnah muakkadah dalam melaksanakan ibadah korban ialah melaksanakan ibadah korban sunat itu sangat dituntut kita melakukannya.


“Ia tidak sama dengan tuntutan sunat biasa seperti tuntutan sunat bersedekah atau sunat berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.


“Orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala keistimewaan yang sangat tinggi nilainya.


“Tidak melaksanakan ibadah korban pula adalah suatu kerugian besar kerana ia hanya datang sekali dalam setahun".


Demikian antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-226 malam tadi.


Menyertai Malam Munajat itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.


Menyemarakkan acara Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, Belia dan Jemaah Masjid Kampung Kasat serta dari beberapa buah masjid di seluruh negara, dan juga warga kerja KHEU serta individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.


Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Kampung Kasat, Awang Haji E'rifin bin Haji Mohd Yusof, juga selaku Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Kasat serta Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat yang bersiaran dari masjid berkenaan.


Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Awang Razin Hakim bin Haji Razak, Pelajar Diploma 'Aliyah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang juga Belia Masjid Kampung Kasat.


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin.


Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai oleh belia dan Jemaah Masjid Kampung Kasat.


Kemudiannya Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat IV, Imam Masjid Kampung Kasat, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Ajrin bin Haji Rungging.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Semoga segala amalan kerohanian dan Doa Munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.


Close